SEJARAH

 

      ASAL USUL NAMA BESUT

 

          Bukti bertulis yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit, catatan Munsyi Abdullah dalam "Pelayaran Abdullah Ke Kelantan" dan daripada buku "Tuffatul Nafis" karangan Raja Ali Haji

 

 

Suasana Bandar Jerteh Pada Awal Pagi

            Oleh kerana tidak terdapat bukti-bukti bertulis mengenai sejarah awal Daerah Besut, maka terdapat berbagai-bagai cerita yang menerangkan asal usul Besut. Salah satu cerita mengenai asal nama Besut kononnya berpunca dari zaman dahulu, di mana dikatakan daerah ini merupakan salah sebuah kawasan di bawah kuasa Kerajaan Siam. 

            Mengikut salah satu cerita, nama Besut timbul dari perkataan BE yang dalam bahasa Siam bermakna "daerah" manakala "sut" menggambarkan satu tempat atau kawasan yang paling jauh atau penghujung. Hal ini mungkin betul berdasarkan faktor betapa jauhnya Bangkok yang merupakan Pusat Pentadbiran Siam dengan daerah ini. 

 

Masjid Hadhari Jerteh

 

          Satu cerita mengenai asal usul nama Besut ialah berdasarkan cerita kononnya kawasan ini dahulunya diperintah oleh seorang raja yang digelar Raja Sang Nyanya. Beliau adalah ketua lanun yang sangat zalim dan ini menyebabkan tidak ramai orang yang tinggal di kawasan ini. Selepas kematiannya barulah kawasan ini didiami orang dan salah satu kumpulan penduduk terdiri dari orang Pangan. Kumpulan mereka diketuai oleh seorang yang bernama BESUT, jadi dipercayai nama BESUT adalah berasal dari nama ketua orang Pangan tersebut. 

          Kesemua cerita yang mengaitkan asal usul nama daerah ini memang tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada bukti yang bertulis. Bukti yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit, sebagaimana catatan Munsyi Abdullah dalam 'Pelayaran Abdullah Ke Kelantan' dari buku Tuhfatul Nafis karangan Raja Ali Haji. 

         Dalam catatan ini ada diceritakan mengenai sekumpulan pedagang dari Pattani (Selatan Siam) telah datang ke BESUT dengan diketuai oleh seorang yang bernama Cik Latif. Adalah dipercayai Cik Latif berasal dari Sumatera dan telah biasa berdagang di Pattani. Dengan menawarkan segantang mata kail. Dikatakan Cik Latif berjaya memujuk orang-orang Pangan keluar dari daerah ini ke Hulu Besut. Beliau dan orang-orangnya telah berjaya membina sebuah perkampungan ditebing Sungai Besut yang diberi nama Palembang, iaitu mungkin mengambil nama sempena nama tempat asal beliau di Sumatera. Palembang merupakan Pusat Pentadbiran yang pertama di BESUT sebelum Kampung Raja.

         Apabila Cik Latif meninggal dunia, beliau diganti oleh anaknya bernama Cik Kamat. Semasa pemerintahan Cik Kamat, Daerah Besut berada dalam keadaan huru-hara kerana ancaman daripada perompak lanun yang bermaharajalela di pulau-pulau yang berada di sekitar laut daerah ini. Dalam buku 'Pelayaran Abdullah Ke Kelantan', Abdullah Munsyi ada menceritakan kegiatan lanun-lanun di kawasan ini. Dikatakan lanun-lanun ini diketuai oleh Panglima Ebeh dan Panglima Garang.

Sumber : SEJARAH DARUL IMAN HINGGA 1361H-1942H

 

 

 

 

 

 

Masjid Kayu Seberang Jerteh Dikenali Sebagai Masjid Ulul Albab

 

Masjid yang dikenali “Masjid Kayu Seberang Jertih” dibina pada awal 2010 membabitkan kos RM8 juta menjadi mercu tanda baru kepada masyarakat Islam daerah itu kerana seni bina berkonsepkan ciri-ciri Melayu silam.  Masjid ini dianggap unik kerana kerangka bangunan menggunakan 90 peratus kayu cengal dan disesuaikan dengan reka bentuk tradisional Melayu.

 

Sudut Pandangan Masjid Ulul Albab   

       Terletak di tepi jalan utama antara Bandar Jertih-Kota Bharu dan Kuala Terengganu, masjid berkenaan adalah sebuah bangunan berbentuk klasik tetapi kelihatan moden. Masjid ini juga  mampu memuatkan kira-kira 800 jemaah dalam suatu masa lengkap dengan pelbagai kemudahan asas termasuk ruang solat, dewan kuliah, stor dan sebuah kolah besar untuk menyimpan air di hadapan bangunan berkenaan. Masjid ini juga telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Februari 2012 dan telah dikenali sebagai Masjid Ulul Albab. Bangunan ini memakan kos RM12 juta dan dibina dalam tempoh masa 2 tahun. Jurureka masjid ini seorang anak Jati Besut bernama Wan Mustafa Wan Su. Orang Besut panggil dia Wanpo. Wanpo ni sangat hebat dalam ilmu senireka kayu sehingga diberi gelaran Adiguru Ukiran Kayu Malaysia oleh kerajaan Malaysia. Inspirasi bagi masjid ni diambil dari Masjid Seberang Laut, Tumpat, Kelatan yang merupakan masjid tertua di Malaysia. Usianya lebih 250 tahun.

.