USAHAWAN BELIA

 

            Encik Ahmad Nordin Bin Che Wan Mat merupakan belia usahawan ternakan ikan siakap dalam sangkar PPK Pelagat. Beliau merupakan ahli PPK Pelagat, Terengganu telah memulakan projek ternakan ikan siakap dalam sangkar ini semenjak bulan Februari 2005. Dengan berbekalkan modal sendiri, beliau telah memasang 140 buah sangkar untuk menternak ikan siakap. Secara purata, terdapat 500 ekor ikan bagi setiap sangkar yang telah dimasukkan secara berperingkat sejak bulan Mei 2005.

Bermula bulan Mei 2006, iaitu selepas 8 bulan pemeliharaan, ikan siakap yang matang akan mula dituai secara berperingkat mengikut gred yang telah ditetapkan untuk dijual kepada peraih tetap. Mengikut perancangan, sebanyak 5 tan metrik ikan akan dituai setiap minggu, di mana setiap ekor ikan telah mencapai berat sehingga 1.2 kg seekor. Pada masa kini, harga ikan siakap di pasaran adalah antara RM10 - RM12 sekilogram. Beliau tidak menghadapi sebarang masalah pemasaran kerana permintaan ikan siakap adalah sangat tinggi bagi urusniaga pada peringkat sangkar.

 

                                               En. Ahmad Nordin sedang memberikan ikan siakapnya makan ikan baja yang diperolehi daripada nelayan sekitar.

                                            

Salah sebuah daripada 140 sangkar ikan siakap milik En. Ahmad Nordin di Pelagat.

 

                Encik Ahmad Nordin adalah seorang usahawan yang berpandangan jauh dan berdaya maju. Beliau amat yakin projek ini berpotensi tinggi. Oleh itu, beliau telah mendapat kebenaran menggunakan secara TOL tanah kerajaan seluas 50 ekar untuk tujuan pembinaan 90 buah kolam tambahan. Bermula bulan Mei 2006 beliau telah menggunakan 40 buah kolam tambahan tersebut untuk asuhan anak ikan siakap yang berukuran 2 inci sehingga mencapai berat 500 gram sebelum dipindahkan ke dalam sangkar. Anak ikan siakap ini bukan sahaja untuk kegunaan sangkar beliau sendiri, tetapi turut dijual kepada pengusaha yang berminat mendapatkan bekalan anak ikan.

 

Sejumlah 100 buah sangkar yang sedang digunakan untuk menternak ikan siakap. 

 

Tanah TOL Kerajaan yang disewa seluas 50 ekar ini akan menempatkan 90 buah kolam berukuran 40’ X 200’ seunit.

 

Ternakan ikan dalam sangkar En. Ahmad Nordin Bin Che Wan Mat mempunyai prestasi fizikal yang baik. Perancangan usahawan melaksanakan projek kolam asuhan memungkinkan projek ini untuk berkembang.

Pembinaan sangkar dan kolam asuhan telah melibatkan kos melebihi RM1 juta. Jangkaan hasil yang akan diperolehi oleh Encik Ahmad Nordin adalah sebanyak RM672,000 dengan keuntungan bersih sebanyak RM134,400 sepusingan. Secara purata beliau mampu meraih pendapatan bersih sebanyak RM11,000 sebulan.

 

(Sumber : Penolong Pegawai Pusat Pengembangan Pertanian Pelagat, 22000 Jerteh, Terengganu. Tel.: 09-6971 553)