KEBUDAYAAN

 

DIKIR BARAT 


PENGENALAN

                D
ikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan dan Besut. Ianya wujud dalam kalangan masyarakat biasa di kampung-kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang. Dikir Barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun dipertandingankan.

Aktiviti ini biasanya dimainkan oleh masyarakat semasa musim menuai padi dan juga dalam majlis perkahwinan. Pertandingan selalu diadakan oleh Persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengumpul wang. Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dalam persembahan dari masa ke masa mengikut perkembangan zaman.

Perkataan 'Dikir' ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu, 'Dikir' dan 'Pantun' atau 'Dikir' dan 'Karut'. Pengertian 'Karut' itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi, 'Dikir Barat', 'Dikir Karut', 'Dikir Pantun' dan 'Dikir Syair' adalah sama ertinya. Walau bagaimanapun, di Kelantan ianya lebih terkenal dengan panggilan Dikir Barat dan di Selatan Siam dengan Dikir Karut.

 

 

 

ASAL-USUL DIKIR BARAT

 

Dikir Barat Berasal Dari Selatan Siam

         T
erdapat beberapa pendapat mengenai asal-usul Dikir Barat. Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam. Tetapi sebenarnya Dikir Barat ini lebih terkenal dengan nama Dikir Karut yang dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan.
             Menurut orang-orang Kelantan, perkataan "Barat" ini bermakna Selatan Negeri Siam. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana pada satu ketika dahulu, Negeri Kelantan ini pernah diperintah oleh Kerajaan Siam. Rakyat daripada kedua-dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara tidak langsung dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat setempat. Ketika ianya dibawa ke Kelantan, adalah dalam bentuk dikir dan di sana juga telah ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.
 

Dikir Barat Berasal Dari Pulau Tebu

             Ada orang mengatakan bahawa Dikir Barat ini berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana. Sewaktu beliau memperkenalkan Dikir Barat, orang-orang menganggap Dikir Barat sebagai satu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar.

 

Dikir Barat Berasal Dari Ciptaan Pak Leh Tapang

                Apabila memperkatakan Dikir Barat, nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupai. Ramai orang mengenali beliau kerana Dikir Barat Pak Leh Tapang atau nama sebenaraya Haji Mat Salleh bin Haji Ahmad berasal dari Kampung Tapang. Beliau telah mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam. Beliau telah mengubah permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya. Jadi, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk dikir tanpa pantun.
                     Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Pada masa itu juga ada satu kumpulan dikir yang diketuai oleh Jaafar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan Dikir Barat dikampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang menggubah dan menambahkannya dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi Dikir Barat.

 

Tempat Bermain

Permainan Dikir Barat dimainkan di atas pentas. Bentuk pentas mengikut corak permainan tersebut.

i) Bangsal atau pentas untuk pertunjukan pada hari perayaan atau majlis perkahwinan, maka bangsal atau pentasnya diperbuat tinggi kira-kira 4 kaki. Pertunjukan ini percuma dan semua penonton dapat melihat dari jauh. Biasanya dibuat daripada buluh, berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa.

ii) Bangsal atau pentas untuk pertunjukan dikenakan bayaran. Kadangkala ada juga penganjur yang menganjurkan permohonan ini dengan mengutip wang. Penonton dikenakan bayaran masuk. Pentas dibuat sempurna supaya semuanya dapat menonton.


PERSEDIAAN ALAT-ALAT MUZIK

Rebana Ibu dan Anak

Rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan belulang kambing yang dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. Badan dibuat daripada kayu yang tidak dalam (5-6 inci dalam). Belulang dikemaskan dengan menggunakan pancang kayu antara cincin dan bahagian bawah badannya. Rebana Anak lebih kecil saiznya daripada Rebana Ibu.

Tetawak

Tetawak diperbuat daripada perunggu berbentuk bulat. Dindingnya tebal, berbusut ditengah-tengah permukaannya. Picnya lebih tinggi dari gong agung. Biasanya tetawak ini digantung dan dipalu busutnya.

Marakas

Sepasang Marakas juga digunakan dalam persembahan dikir barat. Ia biasanya diperbuat daripada kayu atau plastik dan tempurung kelapa. Kayu yang digunakan dilarik, dilicinkan dan dibentuk bulat seperti bola. Di dalamnya dimasukkan biji-biji batu kecil untuk menghasilkan bunyi. Kayu pemegang dipasang untuk memudahkan pemain memainkannya.

PAKAIAN

Di dalam permainan Dikir Barat di Kelantan yang berasal dari Selatan Siam, tidak ada pakaian tertentu atau yang menarik dipakai oleh Juara, Tukang Karut dan awak-awak. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana permainan ini ialah permainan rakyat biasa dikawasan sawah-sawah padi dan kampung-kampung, tetapi kini mereka lengkap berpakaian kemas dengan dastanya sekali.

 

 

 

 

ULIT MAYANG

 

 

Gambar menunjukkan tarian ulit mayang dimainkan

 

            Tarian Ulit Mayang ini merupakan sejenis tarian yang berunsurkan pemujaan. Dipercayai tarian ini telah wujud pada zaman pemerintahan Sultan Umor lagi. Ia dikatakan berasal dari Tanah Seberang iaitu Kepulauan Jawa. Sebagai makluman, pada masa dahulu setiap tahun di Terengganu ini akan diadakan Pesta Pantai. Ianya sudah menjadi tradisi pada zaman tersebut.
               Pesta Pantai diadakan untuk memuja semangat pantai terutama bagi mereka yang bekerja sebagai nelayan. Jadi, tarian ini merupakan satu permainan tradisi masyarakat Melayu Terengganu yang tinggal di persisiran pantai Negeri Terengganu ini. Tarian ini dipersembahkan secara beramai-ramai antara 10 hingga 15 orang dalam bentuk bulatan untuk memuja Tuan Puteri Tujuh beradik. Ia biasanya diadakan pada waktu malam.

               Persembahan Ulit Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Mayang dibangkitkan semangat dan asalnya. Ketika persembahan ini berlangsung, pemain-pemain diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan-rakan yang lain. Persembahan ini dimainkan beramai-ramai dengan membuat bulatan dan pemegang (ketua pemuja dipanggil ADI) duduk di tengah-tengah dan tidak ada muzik yang mengiringi persembahang ini. Biasanya yang mengambil bahagian dalam persembahan ini berumur dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun.

Persembahan Ulit Mayang yang dimainkan ini adalah sekadar untuk bersuka-suka saja, melambangkan suatu pemujaan yang mendalam terhadap Tuan Puteri Tujuh Beradik. Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal-usul Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu. Doa dan bangkitan dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa apa-apa kemalangan. Mengikut cerita orang tua dulu, lagu ulit mayang yang dinyanyikan dulu adalah seperti lirik di bawah :

 

- Umbuk mayang diumbuk
- Umbuk dengan jala jemala
- Sambut dayang kusambut
- Sambut dengan puteri ngesa
- Puteri ngesa berkain serong
- Puteri ngesa berbaju hijau
- Puteri ngesa bersubang gading
- Puteri ngesa bersanggol sendeng

(rangkap kedua di atas kemudian diulang dengan puteri dua dan seterusnya hingga puteri tujuh)

 

 

                Tetapi lagu sekarang yang dimainkan di televisyen atau radio sudah  banyak yang berubah. Kalau dahulu untuk pemujaan, tetapi hari ini adalah untuk hiburan semata-mata. Kalau dahulu memang pantang lagu ini dinyanyikan ketika di tepi pantai kerana dikhuatiri lain jadinya iaitu bimbang terkena rasukan.
             Di Pasar Kedai Payang, belakang Pejabat Pos, ada satu tempat pelancongan yang dipanggil Bukit Puteri. Di puncak bukit tersebut terdapat makam yang dipercayai tempat bersemayamnya puteri bertujuh.



Sumber:
http://ayohwang.blogspot.com/2009/03/ulit-mayang.html